AM

Mesyuarat WG-AEC ke-12 bermula Menjelang Pemukiman AEM ke-31

22/02/2025 03:52 PM

KOTA TINGGI, 22 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 bermula hari ini menjelang Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari.

Dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sugumari S. Shanmugam, mesyuarat WG-AEC selama dua hari secara fizikal menghimpunkan 30 perwakilan dari semua negara anggota ASEAN serta Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN di Pusat Konvensyen Desaru Coast di sini.

Perwakilan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk daripada kementerian dan agensi yang berbeza, tidak terhad kepada ekonomi atau perdagangan, tertakluk kepada pelantikan atau mandat dari negara masing-masing.

Selain pertemuan fizikal, kemudahan sidang video turut disediakan dan dijangka menarik penyertaan secara maya dalam kalangan negara anggota ASEAN dan Timor-Leste serta perunding yang dilantik. 

Peserta mesyuarat dijangka mengadakan rundingan, mengemukakan pandangan dan pendirian, merangka dan menyumbang kepada pembangunan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030.

Selepas mesyuarat WG-AEC, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) Ke-47 akan berlangsung pada 24 hingga 25 Februari sebelum Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Pemukiman AEM Ke-31 yang bersidang pada 26 dan 27 Februari.

Acara selama seminggu itu akan mencapai kemuncaknya pada 28 Februari apabila menteri-menteri ekonomi ASEAN dijadualkan mengadakan pemukiman di resort pantai Desaru untuk membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.

Pemukiman itu diadakan bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi Malaysia ke arah membina komuniti ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

Antara keutamaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN selain meninjau dan memperluas kerjasama ekonomi ASEAN di luar rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan