AM

Desaru Jadi Tumpuan Komuniti ASEAN

22/02/2025 04:11 PM

KOTA TINGGI, 22 Feb (Bernama) -- Desaru yang terletak berhampiran dengan Bandar Penawar, dekat sini, mula menerima delegasi ASEAN dari dalam dan luar negara.

Kawasan peranginan yang terkenal dengan deretan hotel mewah dan pantai yang cantik itu menjadi tumpuan komuniti ASEAN, apabila menjadi hos kepada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 pada 28 Feb.

Selain Pemukiman AEM, turut berlangsung Mesyuarat Kumpulan Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) ke-12 pada 22 dan 23 Feb, Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) ke-47 pada 24 dan 25 Feb dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi (SEOM) bagi Pemukiman AEM ke-31 pada 26 dan 27 Feb.

Kedatangan delegasi ASEAN ke kawasan ini dijangka akan terus meningkat sepanjang mesyuarat berlangsung, sekali gus meningkatkan profil kawasan peranginan ini di rantau ASEAN.

Selain itu, masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya juga dijangka menerima limpahan ekonomi daripada kehadiran delegasi ASEAN ke mesyuarat berkenaan.

Pemukiman AEM berkenaan diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” bagi mencerminkan aspirasi Malaysia dalam menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN yang terangkum dan mampan.

Antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta mengemudi usaha meneroka dan memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan