AM

Ahmad Zahid, Fadillah Ucap Selamat Menyambut Ramadan, Ajak Kurangkan Pembaziran

01/03/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di seluruh negara yang akan memulakan ibadah puasa esok.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata Ramadan adalah bulan rahmat dan keberkatan yang memberi peluang untuk memperkukuh nilai kasih sayang serta mempererat ukhuwah.

“Semoga Ramadan kali ini menjadi medan untuk kita memperbanyakkan amal soleh, memperkukuh nilai kasih sayang sesama insan serta membina masyarakat lebih harmoni dan sejahtera.”

Fadillah pula mengajak umat Islam memperbanyakkan amal ibadah dan sedekah serta mengurangkan pembaziran, selari dengan semangat Ramadan.

“Bulan penuh kesucian, bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam, bulan penuh keberkatan dan terbaik untuk kita menggandakan amal ibadah, serta memperbanyakkan sedekah dan amalan kebajikan,” katanya menerusi hantaran berasingan di Facebook.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menekankan kepentingan mengelakkan pembaziran makanan yang meningkat mendadak ketika Ramadan, kerana ia bertentangan dengan prinsip kelestarian alam dan keseimbangan sosial.

“Pembaziran mencacatkan keberkatan Ramadan. Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperoleh ganjaran pahala.”

Beliau menggesa masyarakat mengamalkan sikap sederhana dalam berbelanja dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

“Justeru, kurangkan pembaziran, beli mengikut keperluan, dan perbanyakkan agihan atau derma dalam usaha ‘zero waste’,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan