JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Sekeluarga Maut Kereta Bertembung Dengan MPV Di Jalan Nenasi-Rompin

12/01/2025 01:15 AM

KUANTAN, 11 Jan (Bernama) -- Lima sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, Nenasi, Pekan, malam ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.15 malam dan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi serta Kuala Rompin digegaskan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan berlaku ketika sebuah kereta Proton Wira Aeroback dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Rompin ke Nenasi manakala MPV Nissan Grand Livina bergerak dari Nenasi ke Rompin.

“Akibat kemalangan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki oleh lima mangsa iaitu lelaki dan wanita dewasa serta masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Grand Livina mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut akan dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata identiti kesemua mangsa masih dalam siasatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu telah dikenal pasti pihak polis.

Beliau berkata mangsa yang merupakan pekerja bengkel dan juga pemandu kenderaan Proton Wira itu ialah Hamzah Zahari, 52, bersama isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, dan anak mereka, Ainul Mardhiyah Hamzah, 10, Muhammad Luqman, 8, dan Muhammad Lutfi Hamzah, 4.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Rompin menghala ke Nenasi manakala MPV jenis Nissan Grand Livina dari arah Kuantan menghala ke Rompin. 

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar MPV yang sedang bergerak lurus dan akibat kemalangan itu, lima sekeluarga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Zaidi berkata dua mangsa dalam MPV yang mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Rompin dikenal pasti sebagai anggota bomba Balai Indera Mahkota, Kuantan, Wahaid Zakaria, 51, yang juga pemandu dan isterinya, Salasiah Abdul Latif, 43, guru Sekolah Kebangsaan Sungai Karang, Kuantan. 

Beliau berkata proses bedah siasat bermula pukul 11 malam tadi di Hospital Pekan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua mangsa dijangka dikebumikan esok pagi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan