57 SEKOLAH DIJADIKAN PPS DALAM PROSES PEMBAIKAN
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Sebanyak 57 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri sedang dalam proses pembaikan bermula 29 Nov 2024 dan dijangka siap menjelang hujung Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen berkata pembaikan melibatkan PPS di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perlis dan Kelantan itu melibatkan kelulusan peruntukan berjumlah RM910,000.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan pembaikan kecil di PPS selepas digunakan semasa bencana.
“Pembaikan kecil melibatkan 118 sekolah yang dijadikan PPS telah siap dilaksanakan pada Jun 2024 dengan kos keseluruhan RM2.03 juta,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai adakah terdapat peruntukan disediakan bagi penyelenggaraan pasca banjir di setiap PPS.
-- BERNAMA
PM LAWAT 31 NEGARA SEJAK NOV 2022 - DR ZALIHA
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke 31 negara dari November 2022 hingga Februari tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara adalah penting bagi menunjukkan komitmen negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta memperluaskan kerjasama dua hala bersama negara-negara yang dilawati.
“Di samping itu, tujuan utama lawatan ini juga adalah untuk meyakinkan bakal pelabur melabur di Malaysia yang secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara serta impaknya kepada ekonomi, politik dan keselamatan negara.
-- BERNAMA
5,000 PELUANG PEKERJAAN BAHARU BERKAITAN ANGKASA DIJANGKA DIWUJUDKAN MENJELANG 2030
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi berkaitan angkasa dijangka dapat diwujudkan menjelang 2030 dengan penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata dengan penguatkuasaan penuh akta itu bermula 1 Jan lepas, ia juga dapat merangsang aktiviti ekonomi baharu dan pelaburan teknologi dalam bidang berkenaan.
Selain itu, beliau berkata akta berkenaan menjadi asas penting untuk Malaysia menyertai perundangan angkasa antarabangsa termasuk Triti Angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 digubal untuk mengawal selia, mengkoordinasi dan mentadbir aktiviti angkasa negara bagi memastikan ia dijalankan secara bertanggungjawab, selamat, dan selaras dengan perundangan antarabangsa,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial