AM

Semua 325 Program Keusahawanan Pembangunan PMKS Pada 2024 Sudah Dilaporkan - Ahmad Zahid

13/02/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Semua 325 program keusahawanan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan peruntukan RM33.8 billion di bawah Belanjawan 2024 telah berjaya dilaporkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkembangan itu sekali gus membuktikan keberhasilan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) yang menghendaki kesemua kejayaan itu dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).

Timbalan Perdana Menteri berkata SMEIPA ialah mekanisme utama dalam menyelaras, memantau, dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai kementerian dan aggensi.

“Selain itu, pelaporan SMEIPA bagi 2024 juga berjaya memperoleh laporan lengkap daripada kesemua 13 kerajaan negeri mengenai inisiatif berkaitan pembangunan PMKS. Ini merupakan pencapaian penting dan pertama kali direkodkan sejak SMEIPA diperkenalkan pada 2006,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata kejayaan yang dicapai merupakan hasil usaha berterusan melalui empat Mesyuarat SEK-MPUPK yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata semua mesyuarat berkenaan bertujuan memastikan penjajaran dan penyelarasan program keusahawanan yang lebih bersepadu serta pelaporan yang lebih menyeluruh.

“Sebagai Pengerusi MPUPK, saya akan terus komited untuk terus memperkasakan ekosistem keusahawanan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui inisiatif yang lebih strategik dan menyeluruh demi kesejahteraan ekonomi negara,” katanya.

Ogos lepas Ahmad Zahid meminta semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terbabit dalam inisiatif keusahawanan serta pembangunan PMKS, wajib membuat pelaporan pencapaian inisiatif masing-masing.

Ia bagi mengurangkan pertindihan program dalam kalangan agensi, seterusnya mengurangkan pembaziran sumber kerajaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan