PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diberi peranan sebagai agensi utama dalam prapendaftaran MyDigital ID sebagai usaha mempertingkatkan kadar pendaftaran bagi pengenalan diri individu secara digital negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias untuk merangka proses serta keperluan undang-undang berkaitan bagi melaksanakan perkara tersebut.
“Ini kerana JPN merupakan pemegang data rakyat yang paling sah dan lengkap. Dengan langkah ini, setiap rakyat Malaysia yang mencapai umur 12 tahun secara automatik akan didaftarkan untuk Digital ID semasa mereka mendapatkan MyKad,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara akan dibuat bagi membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID diperakui.
“Tujuan utama langkah ini adalah untuk meningkatkan kadar pendaftaran Digital ID dan memudahkan urusan rakyat dengan aplikasi kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
MyDigital ID adalah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial