AM

PM Anwar Rasmi Program Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman Esok

16/02/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Program Majlis Memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini esok.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Aro Dagang berkata program yang diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan negara yang ke-122 itu akan dirasmikan Perdana Menteri pada 4 petang.

“Tunku Abdul Rahman bukan sahaja dikenali sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia, tetapi beliau juga merupakan lambang keharmonian dan perpaduan dalam negara kita.

“Kepimpinannya yang berasaskan toleransi, keadilan dan kasih sayang telah membentuk asas kukuh kepada perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum, agama, dan budaya,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Tunku Abdul Rahman yang diputerakan di Alor Setar, Kedah pada 8 Feb 1903 menjawat jawatan Perdana Menteri dari 31 Ogos 1957 hingga 22 Sept 1970.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) Arkib Negara Zaidin Mohd Noor berkata penganjuran program berkenaan adalah seiring dengan usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam menyebarluaskan sejarah dan legasi ketokohan Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata Tunku Abdul Rahman telah banyak memberi sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan negara, pembangunan ekonomi serta membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Kepimpinannya yang berteraskan toleransi, keadilan dan kasih sayang telah membentuk asas yang kukuh kepada perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya ketika menjadi tetamu program bertajuk Majlis Memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Bernama Radio, hari ini. 

Beliau berkata Tunku Abdul Rahman juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing serta aktif dalam pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Komanwel.

“Almarhum Tunku adalah insan yang bertanggungjawab menubuhkan Association of Southeast Asia (ASA - Pertubuhan Asia Tenggarayang dianggotai oleh Malaya (nama Malaysia ketika itu), Thailand dan Filipina pada tahun 1961. ASA kemudiannya berubah menjadi ASEAN pada 8 Ogos 1967.

“ASEAN kini dianggotai oleh 10 negara. Ini jelas membuktikan jasa dan sumbangan Almarhum Tunku bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negaranya sendiri, tapi turut dinikmati oleh negara-negara serantau,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kementerian melalui Arkib Negara dalam memastikan tokoh negarawan sentiasa diingati oleh masyarakat, Zaidin berkata sehingga kini terdapat 11 memorial, galeria, pustaka dan rumah kelahiran telah dibangunkan dan dibuka kepada orang ramai.

“Salah satunya ialah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang terletak di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur. Memorial ini telah dirasmikan pada 10 November 1994.

“Selain itu, terdapat pelbagai program pengembangan dan advokasi yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan memorial, galeria, pustaka dan rumah kelahiran serta tokoh-tokoh negarawan yang berkaitan,” katanya.

Zaidin juga berharap menerusi program seperti ini, ia akan dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum terhadap tokoh-tokoh negara yang banyak berjasa serta sejarah dan khazanah warisan negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan