PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan sebuah portal berita tempatan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor kira-kira 11 malam tadi, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama berkata penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya.
Wartawan berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan seorang wartawannya ditahan SPRM.
Azam berkata wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 telah disita.
Sementara itu menurut sumber, wartawan berkenaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah RM100,000 tetapi setelah berunding, dia bersetuju menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM20,000,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial