KOTA BHARU, 10 Jan (Bernama) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini berada di fasa akhir penyediaan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sebelum dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata proses ini melibatkan perbincangan intensif dengan kerajaan negeri di samping mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kandungan RUU itu lebih komprehensif dan relevan.
“Rang Undang-undang ini memberi tumpuan kepada mitigasi, seperti pengurangan pelepasan gas rumah kaca, namun aspek adaptasi juga penting, dan orang ramai perlu bersedia menghadapi perubahan seperti kenaikan suhu dan paras air laut.
“Kita juga memiliki Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP), yang akan dilengkapi elemen adaptasi melalui RUUPIN,” katanya ketika ditemui di Program Semarak Desa Kampung Angkat MADANI NRES 2025 di Kampung Aril, Melor, di sini, hari ini.
Beliau berkata penggubalan Rang Undang-undang itu selaras dengan aspirasi perubahan iklim negara dan matlamat pembangunan mampan jangka panjang.
"Untuk itu NRES telah membuka ruang konsultasi awam, melibatkan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat, dan orang ramai," katanya.
Nik Nazmi berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dengan menetapkan sasaran sifar bersih gas rumah kaca menjelang 2050.
“Dalam masa sama, NRES sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi melengkapkan Rang Undang-undang berkenaan. DPKK ini penting sebagai instrumen utama untuk memastikan pasaran karbon negara dapat berfungsi secara efektif, termasuk pelaksanaan harga karbon,” jelasnya.
Nik Nazmi turut menyeru rakyat agar menyokong usaha kementerian dalam memastikan pengurusan sumber asli dilakukan secara mampan demi kepentingan negara.
Sementara itu Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan menyuarakan hasrat NRES untuk menambah peruntukan bagi menaik taraf jalan-jalan di sekitar kawasan bendang di Kampung Aril sini, di bawah Program Kampung Angkat MADANI.
"Kalau boleh kita mahu menaik taraf misalnya jalan-jalan bendang dan buat acara sukan serta kegiatan budaya yang dapat menjadi satu acara tahunan untuk menarik orang ramai datang ke kampung ini.
"Penambahan peruntukan ini dapat meningkatkan infrastruktur bagi penduduk bagi menjana ekonomi secara berterusan dengan adanya acara sukan dan budaya seperti dikir barat serta muay thai, selaras dengan persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia," katanya.
Menerusi peruntukan RM100 juta yang disediakan semasa Belanjawan 2024, setiap kampung angkat, termasuk Kampung Aril, menerima peruntukan maksimum sebanyak RM2.5 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Projek-projek yang siap sepenuhnya di kampiung ini dalam tempoh setahun meliputi penambahbaikan infrastruktur, di samping pelaksanaan beberapa inisiatif antaranya kerja-kerja membaik pulih masjid, Wat Ariyakiri, klinik desa, wakaf dan tempat pembuangan sampah.
Selain itu, NRES juga telah menaik taraf jalan kampung, memasang lampu solar di jalan utama Kampung Aril serta memasang telaga tiub untuk memastikan bekalan air bersih kepada penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial