AM

Selangor Akan Tubuh Beberapa Pusat AI Tahun Depan - Amirudin

08/02/2025 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Beberapa pusat kecerdasan buatan (AI) akan ditubuhkan di Selangor tahun depan sebagai langkah kerajaan negeri menyokong perkembangan teknologi yang sedang pesat membangun itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penubuhan pusat AI itu juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, selain melengkapi kewujudan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri itu.

Beliau berkata NADI ialah inisiatif kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan jurang digital rakyat dengan meningkatkan kebolehcapaian dan penggunaan teknologi khususnya untuk berhubung, melakukan urusan transaksi secara dalam talian serta mengakses pelbagai maklumat.

“Selain menyediakan akses Internet dan ketersambungan, pusat NADI juga menawarkan program-program sokongan seperti keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri dan kesedaran kesihatan. 

“Hal ini membuktikan bahawa ia bukan sahaja tempat untuk mengakses digital, tetapi juga sebagai pusat yang memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat NADI Sungai Tua di Selayang Baru hari ini. 

Amirudin berkata Pusat NADI di Sungai Tua itu ialah yang ke-76 di seluruh Selangor dan menjelang akhir Mac ini, dijangkakan lapan lagi pusat serupa dijangka siap, menjadikan 84 pusat seumpama ini akan beroperasi di negeri berkenaan.

Katanya, setakat akhir Januari lepas, sebanyak 107,194 pengguna juga telah memanfaatkan pusat-pusat seumpama itu di seluruh Selangor. 

“Saya nampak NADI mempunyai peranan yang sangat besar yang boleh berfungsi dengan agresif untuk membantu rakyat berkomunikasi dalam mendapatkan maklumat berkenaan dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. 

“Jadi saya akan memanfaatkan keseluruhan pusat-pusat ini sebagai sebahagian daripada titik komunikasi kepada rakyat pada masa depan selepas saya melakukan beberapa perbincangan dengan pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) ataupun dengan pihak kerajaan pusat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan