AM

Lesen Bazar Ramadan Dibatalkan Jika Dijual Semula - PM Anwar

10/02/2025 11:47 AM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran bahawa lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula akan dibatalkan dengan segera.

Beliau menegaskan tindakan itu perlu dilaksanakan, kerana saban tahun terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjual semula lesen tersebut bagi mendapatkan keuntungan mudah.

“Kalau ada persatuan yang ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan dan kebersihan, itu saya faham, tetapi ini (salah kerana) dijual semula.

“Jadi kita kena pastikan siapa yang dapat lesen, dia kerja. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” kata beliau ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Anwar berkata pembatalan lesen bazar Ramadan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan sedemikian telah diamalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan boleh dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan lain.

“Jadi saya harap dengan pelaksanaan tegas di Kuala Lumpur, dia menjadi satu contoh. Contoh pelaksanaan yang baik. Bayangkan orang nak berniaga di bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah lebih tinggi untuk persiapan (Aidilfitri) untuk keluarga. (Tetapi) itu masih ada tokok-tokok selain daripada kadar ditetapkan,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan perkara-perkara kecil seumpama itu jika tidak diambil tindakan boleh menyebabkan keruntuhan tatakelola yang lebih besar dalam negara.

“Tetapi kalau kita biarkan beginilah keadaannya, di merata tempat. Sekecil-kecil gerai, sebesar-besar projek raksasa.

“Saya percaya (penguatkuasaan) ini juga harus dilakukan di pelabuhan, di lapangan terbang. Kita tengok beberapa sistem yang lebih kemas dan cekap sekarang tetapi tidak terlepas beberapa pelanggaran yang harus kita pantau,” kata Anwar.

Sementara itu, beliau turut mengajak umat Islam di Malaysia untuk memantapkan persiapan diri menjelang bulan suci Ramadan yang akan tiba awal bulan depan.

“Persiapan maknanya sekurang-kurangnya mengulangi dan membaca makna, khasiat dan mesej risalah mengenai Ramadan dan supaya penghayatan itu lebih bermakna. 

“Ramadan itu memberikan satu penegasan tentang disiplin, tentang kekuatan rohani dan keyakinan dan juga sifat lebih sederhana, lebih perhatian kepada nasib masyarakat yang tersisih dan terbiar,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan