AM

Melaka Tarik Lesen, Senarai Hitam Penganjur Dan Peniaga Jual Lesen Bazar Ramadan

10/02/2025 08:13 PM

MELAKA, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik lesen dan menyenaraihitamkan peniaga yang dikesan menjual lesen perniagaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata tindakan sama juga dikenakan kepada penganjur yang terlibat dalam aktiviti ‘ali baba’ itu semata-mata untuk mengaut keuntungan besar.

"Untuk menganjurkan bazar Ramadan, ada syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan begitu juga untuk menyewa tapak bazar.

"Penganjuran bazar Ramadan di Melaka bukan setahun dua dan kebanyakan peniaga telah lama berniaga di tapak disediakan. Jadi, sudah pasti mereka faham tentang syarat ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rais berkata demikian selepas merasmikan Majlis 'Back to School' sempena Hari Perbandaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ke-15 dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Pengkalan Batu yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin dan Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron.

Rais berkata walaupun tiada kes berkaitan aktiviti 'ali baba' melibatkan penganjur dan peniaga bazar Ramadan sebelum ini, namun pemantauan akan dilakukan bagi mengekang perbuatan itu.

Beliau berkata langkah itu juga selaras amaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bahawa lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula akan dibatalkan segera.

"Pemantauan dan kawalan terhadap isu ini penting kerana kita tidak mahu timbul isu kebersihan atau aduan masyarakat setempat berkaitan sampah tidak diurus dengan baik sekali gus menimbulkan ketidakselesaan penduduk," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memberi amaran itu menegaskan tindakan tersebut perlu dilaksanakan kerana saban tahun terdapat pihak mengambil kesempatan menjual semula lesen bagi mendapat keuntungan mudah.

Mengulas mengenai program, Rais berkata sebanyak 200 penerima dari tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Pengkalan Batu menerima bantuan tunai dan keperluan barangan persekolahan berjumlah RM150 diperuntukkan MPHTJ.

Beliau berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa daripada keluarga B40 sekali gus memastikan tiada anak-anak tercicir daripada memulakan sesi persekolahan baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan