AM

Banjir: Pihak Swasta Sumbang RM2.45 Juta Kepada JPBN Sarawak

13/02/2025 03:25 PM

KUCHING, 13 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM2.45 juta yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat swasta bagi meneruskan usaha mengurus serta menangani situasi banjir di negeri ini.

Timbalan Premier yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata laporan nilai kerosakan akibat bencana banjir akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu depan. 

“Sehingga kini kerajaan Persekutuan telah menyalurkan (sumbangan) RM12.8 juta dari pejabat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) juga telahpun memberi peruntukan tambahan RM10 juta, dan kita ada juga menerima bantuan daripada syarikat swasta.

“Premier juga telah meminta untuk saya bentangkan penilaian kerosakan akibat banjir ini, dan kita juga akan majukan perkara ini kepada pejabat Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menjelaskan situasi kerosakan, seperti kos pemulihan infrastruktur dan jalan raya yang rosak sehingga menyebabkan jalan terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyampaian sumbangan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. 

Uggah berkata bencana yang melanda negeri ini sejak Januari lepas seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran telah menyebabkan sejumlah 86 pusat pemindahan sementera (PPS) dibuka, melibatkan 4,966 isi rumah dan 16,700 mangsa.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata YKN menyalurkan RM300,000 kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025.

Beliau berkata sumbangan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat dengan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap kebajikan mangsa bencana.

“Sumbangan ini disalurkan menerusi Kerajaan Negeri supaya dapat diagihkan secara menyeluruh dan bersasar di kawasan-kawasan yang terjejas. 

“YKN juga akan menyampaikan sumbangan kepada Kerajaan Sabah minggu hadapan, bantuan ini adalah sebahagian daripada komitmen YKN untuk terus membantu semua negeri yang terjejas oleh bencana banjir,” katanya.

Setakat 12 tengah hari ini, 262 mangsa banjir daripada 81 keluarga masih berlindung di lima PPS dalam kawasan Sibu, Mukah dan Bintulu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan