AM

Nrecc Jalin Kerjasama Erat Dengan Kerajaan Negeri Dalam Tadbir Urus Alam Sekitar

11/04/2023 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar bagi mencapai agenda kelestarian negara.

NRECC dalam kenyataan memaklumkan perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 1, 2023, yang diadakan di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, Selangor, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad itu turut membincangkan kerjasama untuk memperkasakan pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon secara menyeluruh bagi mencapai sasaran pengurangan karbon secara mutlak melalui program yang dilaksanakan oleh NRECC dan Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC). 

“Program itu seperti mengutamakan perolehan hijau di peringkat tempatan menerusi Program Perolehan Hijau Kerajaan, mempergiat penyertaan dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030, pembangunan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (SPTL) dan Inisiatif Rumah Ibadat Hijau, menggalakkan pengurusan gas rumah kaca di peringkat organisasi menerusi Low Carbon Operating System (LCOS) dan mempercepat pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu mesyuarat turut membincangkan berkenaan Hari Alam Sekitar Negara yang akan disambut pada 21 Okt, dengan sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Johor selain penganjuran International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 pada 4 hingga 6 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema “Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action”.

NRECC juga sedang merangka ketetapan dasar dan proses utama berkaitan pasaran karbon di bawah The United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan Perjanjian Paris.

“Sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh termasuk kerajaan negeri akan dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon oleh entiti awam dan swasta di Malaysia adalah selari dengan keputusan UNFCCC dan mengambil kira kepentingan negeri-negeri di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan