KAJANG, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Penjara memerlukan rumah perantaraan khusus untuk banduan wanita yang diparol dan bekas banduan wanita yang sedang mencari pekerjaan bagi memastikan kumpulan itu berupaya kembali berintegrasi dalam masyarakat.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Pemasyarakatan) Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata ketika ini, jabatan itu mempunyai 15 rumah perantaraan namun ia khusus untuk banduan lelaki sahaja.
"Jabatan Penjara masih memerlukan pertambahan rumah perantaraan khusus untuk menempatkan banduan wanita yang tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal selepas dibebaskan atau selepas menjalani pelepasan parol serta Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
"Jadi, kami berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bekerjasama untuk menjalankan rumah perantaraan itu serta kumpulan sokongan rakan sebaya," katanya ketika berucap merasmikan Hari Youturn 2023 bertemakan Welcoming Prisoners Back to Society anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Malaysian Care di Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini.
Rumah perantaraan merupakan premis tempat tinggal yang disediakan oleh Jabatan Penjara dengan kerjasama NGO bagi menempatkan Orang Diparol (ODP) dan bekas banduan baru dibebaskan setelah tamat menjalani hukuman penjara sehingga tiga bulan.
Ibrisam berkata kewujudan premis itu berupaya menjayakan hasrat Jabatan Penjara yang mahu dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang tahun 2030.
"Program Parol dan PBSL telah membantu masing-masing 53,341 ODP dan 9,602 Orang Bebas Berlesen (OBB) mencari semula pekerjaan dan berintegrasi kembali dengan masyarakat sejak 2008," katanya.
Naib Pengerusi SUHAKAM Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal pula berkata usaha membangunkan premis itu tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan penyertaan lebih banyak NGO dalam menjayakan usaha tersebut.
"Saya sendiri bersama rakan-rakan pernah membuka sebuah rumah perantaraan khusus untuk wanita beberapa tahun lepas. Namun disebabkan faktor kos pengurusan, ia hanya bertahan selama lima tahun sahaja.
"Jadi, kalau boleh kami sasarkan untuk buka sebuah rumah berkenaan di Kajang. Isu sama turut dibangkitkan selepas saya melawat penjara di Sabah tempoh hari," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial