PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Lima kesalahan lalu lintas tidak dibenarkan untuk dikompaun sempena musim perayaan kali ini dan perlu diselesaikan di mahkamah, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Lima kesalahan lalu lintas itu ialah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal mematuhi lampu isyarat merah, memotong barisan dan memandu melebihi had laju, katanya.
Selain itu, Wee berkata perintah larangan pemanduan kenderaan barangan akan dilaksanakan tiga hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 30 April hingga 2 Mei, serta 7 dan 8 Mei.
"Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik yang melibatkan kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya ketika berucap pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena sambutan Aidilfitri di sini hari ini.
Wee berkata seramai 2,200 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terlibat dalam Ops Hari Raya Aidilfitri, merangkumi kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui stesen penguatkuasaan (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.
Beliau berkata pemeriksaan bas ekspres menerusi ‘Pra Ops Hari Raya’ pula bermula pada 25 hingga 28 April ini di 75 depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara, bagi memastikan bas ekspres sentiasa berada dalam keadaan ‘road worthiness’ atau layak untuk dipandu di jalan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial