KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata setakat semalam, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celsius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
“Fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Oleh itu, beliau menyarankan kepada mereka yang berkerja di luar bangunan supaya berhati-hati jika cuaca terlalu panas.
“Risiko akibat suhu yang terlalu tinggi atau gelombang haba adalah seperti dehidrasi, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba yang boleh memburukkan keadaan kesihatan seseorang,” katanya.
Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol dengan suhu maksimum harian mencecah 35-37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial