PDRM Tidak Terima Maklumat Jho Low Di Myanmar - KPN

22/11/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat  keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang didakwa berada di Myamnar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata setakat ini pihak berkuasa Myanmar tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai individu penting bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dengan PDRM, memandangkan negara berkenaan turut berada dalam Polis ASEAN (ASEANAPOL).

“Apa juga maklumat yang ada, kita akan kongsi termasuk dengan ASEANAPOL. Buat masa ini kita tiada apa-apa maklumat dan Myanmar juga tidak memberi sebarang makluman.

“Kita juga mempunyai kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan ASEANAPOL, malah baru-baru ini saya juga telah menghadiri perhimpunan agung INTERPOL di Glasgow, Scotland selama seminggu. Apa juga maklumat yang kita ada kita akan kongsi termasuk dengan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Majlis itu menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel daripada empat PULAPOL iaitu Kuala Lumpur, Dungun, Terengganu, Bukit Sentosa, Selangor dan Segamat, Johor.

Sebelum ini, media melaporkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang juga peguam kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mendakwa Jho Low kini bersembunyi di Myanmar.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk lebih proaktif memastikan warga PDRM sentiasa mengamalkan integriti dan tatakelola yang lebih baik.

Beliau berkata ia termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan warga PDRM terutama ketika waktu pejabat dan pelaksanaan Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam kepada penyelia yang gagal menyelia dengan baik.

“Dulu ada kes (salah laku) baru kita siasat, sekarang tidak lagi kerana JIPS akan lebih proaktif. Siasatan dilakukan kepada pegawai yang keluar waktu pejabat, bermain golf dan sebagainya.

"Kita juga akan menangkap pegawai yang terlibat salah laku, pergi karaoke, berfoya-foya serta berbelanja lebih kemampuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan