AM

ISMAIL BAKAR KETUA SETIAUSAHA NEGARA BAHARU

28/08/2018 11:44 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan watikah pelantikan Ismail ketika pertemuan ringkas di pejabatnya di Perdana Putra, di sini hari ini.

Kontrak perkhidmatan Ali sebagai KSN tamat hari ini selepas berkhidmat selama lebih enam tahun.

Ismail ketika ditemui berkata beliau akan melaksanakan amanat Perdana Menteri dengan baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap kepada rakyat.

"Sudah tentunya dalam era ini kita mahu memastikan integriti dan akauntabiliti berada pada tahap terbaik dalam kalangan penjawat awam," katanya.

Ditanya menyenai prestasi sektor awam ketika ini, beliau berkata secara keseluruhannya ia sangat baik, namun kepercayaan rakyat perlu diraih semula berikutan beberapa insiden membabitkan penjawat awam sejak beberapa tahun kebelakanhan ini.

Ismail, 58, lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu telah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Beliau mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada Januari 1986 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan, Pengarah Belanjawan Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan ibu Pejabat Bank Dunia, Washington DC, Amerika Syarikat.

Pada 12 Jun lepas, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan menggantikan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang telah dipendekkan kontrak perkhidmatannya.

Dalam pada itu, Ali melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan semua anggota jemaah menteri kerana memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai KSN sejak peralihan tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

"Saya menjadi KSN pertama berpeluang melihat perubahan pemerintahan yang berlaku di Malaysia dan ada peranan saya mainkan di situ serta bangga dapat berkhidmat untuk negara," katanya.

Ali turut melafazkan rasa syukur dapat berkhidmat dalam sektor awam menerusi lima perdana menteri sejak 1980 bermula sebagai pegawai tadbir dan diplomatik.

Menyifatkan pengalaman itu sangat berharga, katanya beliau yang berasal dari luar bandar bersyukur dapat sampai ke tahap sekarang hasil bantuan kerajaan bermula dengan Dasar Ekonomi Baru.

"Saya telah cuba memberikan perkhidmatan terbaik, sebab itu saya selalu menekankan kepada penjawat awam supaya merakyatkan perkhidmatan awam dan perlu pastikan apa yang kita buat memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Ali, 63 yang dilantik KSN pada 2012 berkata beliau akan terus memberi sumbangan kepada negara sekiranya masih diperlukan selepas ini.

 --BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan