PASIR MAS, 4 Okt (Bernama) -- Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, berhasrat menyertai pasukan payung terjun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebuah pasukan yang dianggapnya memberi lebih cabaran kepadanya.
Ibu Allahyarham, Hanipah Essa, 56, berkata hasrat Izatul Akma, 32, untuk menyertai pasukan payung terjun itu disuarakan kepadanya setahun lepas.
"Beliau (Allahyarham) telefon saya menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan itu, namun saya tidak mengizinkan kerana saya khuatir pasukan itu bahaya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bechah Kaki dekat sini, hari ini.
Selain Allahyarham, lima lagi anggota bomba yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam tadi, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu pukul 5.00 petang semalam.
Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan mangsa lemas.
Hanipah berkata selepas tidak diizinkan menyertai pasukan itu, anak kedua daripada 10 adik beradik mengambil keputusan menyertai Pasukan Penyelamat Di Air.
"Dia menyertai pasukan itu kerana meminatinya malah suka bermain air, jika cuti dan banjir di kampung ini,” katanya dengan menambah Allahyarham sangat rapat dengan anggota keluarga dan rakan-rakan di kampung malah seorang yang ceria.
Katanya, beliau mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu pukul 1.00 pagi hari ini melalui panggilan telefon daripada pihak bomba yang menyatakan Allahyarham terlibat dalam kemalangan.
"Saya terkejut dan tidak percaya dengan maklumat itu selepas agak lama Allahyarham tidak menghubungi saya untuk bertanya khabar," katanya.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Wan Ibrahim Mat Daud, 60, berkata Allahyarham anaknya itu juga sebelum ini berhasrat untuk berpindah dan berkhidamat di Kelantan.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan dia pada Hari Raya Haji (Aidiladha) lepas, tiada tanda-tanda pelik," katanya.
Allahyarham Izatul Akma meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak berusia tujuh tahun sehingga dua tahun dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kaki petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial