AM

Perkhidmatan pos mudahkan E-dagang di Sarawak

09/10/2018 05:39 PM

KUCHING, 9 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang melaksanakan fasa keempat program transformasi perkhidmatan pos di Sabah dan Sarawak (PTPSS) bagi memudahkan usahawan tempatan bergantung dengan perkhidmatan pos untuk menghantar produk jualan mereka ke seluruh negara.

Pengarah SKMM Wilayah Sarawak, Roslan Mohamad berkata PTPSS di Sarawak melibatkan 256 orang posmen komuniti, 86 wakil pos komuniti dan sembilan buah kenderaan pos-on-wheels (POW) dengan 61 pejabat pos selari dengan perkembangan teknologi komunikasi digital dan elektronik, sekaligus mewujudkan peluang penjanaan pendapatan kepada rakyat melalui e-dagang.

"Pada masa kini tugas posmen dan keseluruhan perkhidmatan pos adalah lebih daripada menyampaikan surat atau bungkusan semata-mata, terutamanya di Sarawak

“... Tanpa perkhidmatan pos, orang Johor tidak dapat merasai keenakan kek lapis dan orang Perlis tidak kenal kelazatan pes laksa Sarawak," katanya.ketika berucap pada pelancaran First Day Cover Post Day dan Produk Felxiprepaid sempena Sambutan Hari Pos Sedunia di sini hari ini. Turut hadir Pengurus Negeri Pos Malaysia Berhad, Bong Tung Hui.

Roslan berkata di bawah fasa keempat, program "Address for all" yang menglibatkan satu alamat pos bagi semua penghuni kampung atau rumah panjang turut dilanjutkan ke Bario di Miri dan Serian selepas empat lokasi di Lundu, Bau, Padawan dan Mulu.

Pos Malaysia Berhad adalah licencee SKMM, yang mula mengawal selia industri perkhidmatan pos menggantikan Jabatan Perkhidmatan Pos pada 2001.

Terdahulu Roslan dan Bong secara bersama melepaskan konvoi terdiri daripada 30 posmen bermotosikal, dua van dan sebuah POW di depan Pejabat Pos Besar Kuching bagi melaksanakan rutin harian mereka di bandaraya ini sempena dengan sambutan peringkat negeri.

-- BERNAMA

         


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan