AM

Semuanya ada di Little India Ipoh menjelang Deepavali

03/11/2018 07:27 PM

IPOH, 3 Nov (Bernama) – Harga barangan yang murah selain mempunyai pelbagai koleksi pakaian dan perhiasan terbaharu membuatkan pengunjung terutamanya masyarakat India gemar membeli belah di ‘Little India’ Ipoh bagi menyambut perayaan Deepavali.

Little India Ipoh yang terletak di Jalan Lahat di sini menyediakan lebih 150 kedai dan gerai jualan menawarkan pelbagai barangan seperti kuih tradisional, pakaian, barangan kemas serta perhiasan rumah dijual di kawasan itu.

Bagi D.Muniswary, 21, dari Taman Cempaka di sini antara faktor utama mendorong beliau berkunjung ke Little India adalah disebabkan pelbagai barangan persiapan perayaan mudah didapati selain harga barangan yang dijual tidak mahal.

"Di sini harga sangat mampu milik dan tak mahal sangat, apa sahaja barangan seperti pakaian dan makanan tradisional masyarakat India dan perhiasan rumah sangat mudah didapati.

"Jadi sudah tentu saya akan datang ke sini untuk persiapan setiap kali musim perayaan Deepavali," katanya yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen di sini.

Sementara itu N. Loganathan, 63, berkata persiapan menyambut perayaan Deepavali setiap tahun bagaikan tidak lengkap jika tidak mengunjungi Little India yang mempunyai pelbagai pilihan barangan yang menarik selain harganya yang murah.

"Saya bersama ahli keluarga selalu ke sini untuk membeli barangan keperluan seperti kain sari, punjabi dan kuih tradisional bagi menyambut Deepavali, senang mahu cari barang di sini sebab semua ada," katanya yang bekerja di syarikat agensi pelancongan di sini.

P.Shalini, 32, pula berkata membeli-belah di Little India yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Pasir Putih di sini lebih menarik dan meriah berbanding di tempat lain.

Beliau yang bekerja sendiri berkata Little India menjual pelbagai koleksi pakaian yang menarik dan mempunyai banyak pilihan selain kuih muih tradisional masyarakat India seperti muruku, wade, ladoo dan pelbagai manisan mudah didapati di kawasan berkenaan.

"Bagi saya di sini harga berpatutan dan ada banyak pilihan dari segi pakaian dan tahun ini ada banyak fesyen koleksi baru yang lebih menarik berbanding tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan