AM

Abdul Hamid dilantik Ketua Polis Negara ke-12 - Muhyiddin

02/05/2019 12:01 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata pelantikan Abdul Hamid telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 Mei ini hingga 3 Mei 2021. Ia dibuat di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abdul Hamid akan menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 3 Mei.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur telah memegang pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan serta tanggungjawab menerajui PDRM.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad Fuzi di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 4 Sept 2017.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan