EKONOMI

Langkah tingkatkan peruntukan pembiayaan bagi koperasi perlu ikut kemampuan Bank Rakyat

04/05/2019 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) — Langkah meningkatkan peruntukan pembiayaan bagi koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) perlu mengikut kemampuan bank itu.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata langkah itu juga bergantung kepada keputusan Lembaga Pengarah dan kepakaran bank tersebut.

“Sebagai contoh, daripada RM1 billion, kita tidak boleh mengatakan RM500 juta perlu diberikan kepada usahawan.

“Ia juga bergantung kepada kepakaran yang dimiliki oleh bank tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan bank itu di sini hari ini.

Berdasarkan laporan prestasi kewangan bank tersebut, baki pembiayaan kasar dicatatkan sebanyak RM70.40 bilion berbanding RM70.63 bilion sebelum ini, dengan kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio, terutamanya daripada pembiayaan perumahan, kenderaan dan perniagaan.

Pembiayaan perumahan meningkat 12.8 peratus kepada RM5.92 bilion berbanding RM5.25 bilion sebelum ini manakala pembiayaan kenderaan meningkat 1.5 peratus kepada RM2.77 bilion berbanding RM2.73 bilion sebelum ini.

Pembiayaan perniagaan, terutamanya segmen koperasi meningkat 13.3 peratus kepada RM2.22 bilion berbanding RM1.96 bilion sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Noripah Kamso dalam ucapannya berkata pemberian dividen yang tinggi secara berterusan berupaya menjejaskan tahap kompetitif bank itu dan boleh meletakkan bank tersebut dalam posisi yang tidak relevan pada masa akan datang.

Bank Rakyat terdahulu mengumumkan pembayaran dividen 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 yang bernilai RM379 juta kepada anggotanya.

Noripah turut menjelaskan Lembaga Pengarah telah membincangkan usaha untuk mengatur semula pelan lima tahun bank tersebut. 

“Penyusunan semula pelan itu untuk memastikan ia selari dengan rangka kerja keusahawanan negara, Dasar Koperasi 2020, mandat Institusi Kewangan Pembangunan serta Pengantaraan Berasaskan Nilai yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan