AM

PENEROKA FELDA ARING 1 BIMBANG PENULARAN PNEUMONIA

12/06/2019 06:22 PM

GUA MUSANG,  12 Jun (Bernama) -- Para peneroka Felda Aring 1 melahirkan kebimbangan berikutan penularan radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini.

Seorang peneroka, Ruzelan Ramli ,55, berkata walaupun berada 30 kilometer daripada kawasan perkampungan masyarakat itu namun beliau berasa risau kerana penyakit berkenaan berjangkit menerusi udara.

“Kami harap punca sebenar penularan penyakit itu dapat diketahui secepat mungkin bagi memudahkan peneroka di kawasan ini mengambil langkah berjaga-jaga supaya ia tidak merebak lebih luas.

"Penduduk sekarang berada dalam keadaan keliru kerana ada dakwaan mengatakan jangkitan itu terjadi disebabkan oleh pencemaran air dan ada pihak kata disebabkan bawaan udara," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Aring 1 di sini, hari ini.

Sementara itu, penghulu Felda Aring 1, Nik Anuar Ghazali@Daud,51, berkata walaupun penularan penyakit itu berlaku sejak kira-kira sebulan lepas dalam kalangan Orang Asli namun sehingga kini tiada peneroka yang mengalami simptom-simptom penyakit tersebut.

"Saya nasihatkan 173 keluarga peneroka di sini supaya tidak mendekati kawasan perkampungan Orang Asli di Kuala Koh berikutan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu," katanya.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan arahan larangan terhadap orang ramai daripada mamasuki  perkampungan masyarakat Orang Asli itu atas alasan kesihatan kerana jangkitan kuman radang paru-paru mudah merebak menerusi udara.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

-- BERNAMA   


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan