KOTA BHARU, 22 Ogos (Bernama) -- Arena sukan Muay Thai Kelantan mencipta sejarah apabila buat julung kalinya membenarkan peninju wanita bertarung dalam kejohanan anjuran negeri itu.
Presiden Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata langkah kerajaan negeri membuka pintu gelanggang sukan itu kepada peninju wanita, memberikan ruang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat yang ada.
"Di luar negara, sukan Muay Thai menjadi satu profesion yang menjanjikan pulangan tinggi kepada peninju wanita, kami harap dengan adanya peluang ini, ia boleh menjadi platfom kepada atlet sukan itu di negeri ini untuk mengasah bakat.
"Ia juga memberi ruang kepada kami (PSBNK) menjadi sebahagian daripada penggerak dalam melahirkan peninju wanita yang berbakat dan membawa nama negara ke kejohanan yang lebih besar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sebelum ini, sukan Muay Thai di Kelantan hanya membabitkan peninju lelaki, bagaimanapun dengan keputusan terbaharu kerajaan negeri ini, PSBNK yakin dapat menonjolkan ramai atlet wanita yang handal dan beraksi dengan mematuhi syariah Islam.
PSBNK berterima kasih dan memuji keterbukaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dan kerajaan negeri itu yang disifatkan dapat membawa imej Islam dalam bidang sukan.
"Ia adalah perkembangan yang positif kepada sukan Muay Thai negeri Kelantan terutamanya kepada kaum wanita di negeri ini," katanya.
"Perkembangan itu dapat memberikan ruang kepada PBSNK untuk memberi pendedahan kepada atlet wanita untuk melakukan persiapan ke arah Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial