AM

Orang Asli suku Batek sambut baik projek tanam pokok terung

25/08/2019 04:01 PM

GUA MUSANG, 25 Ogos -- Lebih 200 masyarakat Orang Asli suku Batek yang tinggal di Kampung Kuala Koh di sini, menyambut baik projek perintis tanaman pokok terung oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk sumber ekonomi mereka.

Penghulu masyarakat Orang Asli Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, berkata menerusi projek berkenaan, ia mampu menjana sumber pendapatan baharu kepada penduduk.

“Sebagai masyarakat yang tinggal di kampung terpencil, kami sentiasa mengharap bimbingan semua pihak supaya dapat hidup berdikari selepas diberi keutamaan dalam menjaya projek tanaman kontan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid dilaporkan sebagai berkata sebanyak 1,000 pokok terung akan dibekalkan kepada keluarga Orang Asli suku Batek minggu hadapan sebagai projek perintis tanaman kontan untuk sumber ekonomi mereka.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau mengakui selepas tragedi jangkitan demam campak yang berlaku Mei lepas, pelbagai isu timbul termasuk punca penggunaan air sungai kotor yang turut menarik perhatian kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Kami rasa gembira apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri (sebelum ini) yang menyarankan semua pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan melaksanakan segala pembaharuan untuk kami hidup lebih maju," katanya.

Beliau berkata, fokus yang lebih utama ketika ini adalah berkaitan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik serta berharap agar agensi berkaitan dapat memberi perhatian terhadap perkara berkenaan. 

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Pikas Langsat, 34, berkata penduduk kembali menggunakan air sungai berikutan kerja-kerja membekalkan air bersih sedang dilaksanakan.

"Kami gembira kerana diberi bimbingan untuk mengusahakan kebun sayur dan berharap projek itu dapat mengubah kehidupan kami selepas ini," katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan