SUKAN

Melaka United bawa masuk dua penyerang import

27/11/2019 03:45 PM

MELAKA, 27 Nov  -- Melaka United akan membawa masuk dua penyerang import, Deshorn Brown dan Uche Agba bagi memperkuatkan jentera serangan musim depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li.

Beliau berkata, secara dasarnya kedua-dua mereka, Deshorn dari Jamaica dan Uche dari Nigeria bersetuju untuk menerima tawaran bersama pasukan dan akan menandatangani kontrak bersama skuad Sang Kancil minggu ini.

Katanya, Deshorn, 28, pernah bermain dengan pasukan DC United dan Rapid Colorado di Major League Soccer iaitu kelab yang terkemuka di Amerika, manakala Uche, 33, merupakan bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dan mempunyai pengalaman bermain di Liga Malaysia. 

"Kami sudah berfikir panjang dan membuat keputusan hanya akan menggunakan empat pemain import untuk musim ini selepas Patrick Reichelt tidak menyambung kontrak bagi kuota pemain Asia Tenggara.

"Kami mendapati ramai lagi pemain Malaysia yang baik dan berkualiti setanding pemain import Asia Tenggara, oleh itu kami putuskan akan mendapatkan pemain dari negara ini sekali gus ia dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan pasukan," katanya kepada Bernama, di sini.

Sehingga kini, skuad kendalian Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan telah mengumumkan kemasukan pemain import dari Columbia, Romel Morales Ramirez selain mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk Won yang berasal dari Korea Selatan.

Dalam pada itu, Damian berkata pihaknya juga bercadang untuk mengadakan Piala Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai perlawanan pramusim membabitkan penyertaan kelab-kelab negara jiran.

Katanya, kelab berkenaan adalah dari Indonesia, Thailand dan Singapura termasuk Melaka United sebagai persediaan menghadapi Liga Super musim 2020 dalam mencari persefahaman dan keserasian pemain.

"Kami akan mengadakan kunjung hormat kepada Tun Dr Mohd Khalil bagi mendapatkan kebenaran daripada beliau untuk menganjurkan pertandingan tersebut dan setakat ini kami juga sedang menunggu pengesahan sekurang-kurangnya empat kelab untuk menghantar penyertaan," katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan