AM

Tempat tinggal warga China di Cyberjaya ditinggalkan kosong

09/12/2019 08:08 PM

PUTRAJAYA, 9 Dis  -- Sebanyak 29 unit rumah di Cyberjaya yang disyaki menjadi tempat tinggal warga China yang terlibat dalam aktiviti dalam talian didapati sudah tidak berpenghuni, kata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemeriksaan JIM terhadap premis kediaman terbabit pada 7 Dis (Sabtu) adalah tindakan susulan bagi memburu mereka yang melarikan diri semasa operasi penahanan 680 warga China di Cyberjaya pada 20 Nov lepas.

“JIM percaya mereka telah melarikan diri kerana semua unit kediaman berkenaan ditinggalkan kosong dan dalam keadaan berselerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Nov lepas, JIM menggempur sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China manakala lebih 100 warga China melarikan diri ketika operasi itu.

Khairul Dzaimee berkata JIM akan terus melaksanakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan pas oleh warga asing.

Menurutnya, JIM Sabah pada 26 Nov berjaya menahan 104 warga China dan pada 29 Nov pula, JIM Sarawak berjaya menahan 52 warga China yang disyaki terlibat dalam aktiviti dalam talian.

“Semua warga China yang ditahan ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan