Oleh Erda Khursyiah Basir
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Batik akan diberi pendefinisian semula seiring perkembangan dan keperluan semasa dalam usaha memartabatkan warisan seni kraf itu.
Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Ibrahim Ismail, langkah itu mengambil kira dua faktor utama iaitu memelihara identiti asal batik dan pada masa yang sama menjadikannya kekal relevan dengan permintaan pasaran.
“Isu pendefinisian semula batik sebenarnya sudah lama. Dalam industri kraf kita tidak boleh bersifat terlalu statik atau mengongkong sehingga sesuatu itu ‘tidak boleh bergerak’ dan menghalang perkembangannya. Jika kita berterusan dengan kaedah lama, mungkin kita masih boleh menghasilkan sesuatu (kraf batik) yang cantik, tetapi adakah ia menepati selera dan permintaan semasa?
“Kita juga pada masa yang sama tidak boleh terlalu moden sebagai contoh menghasilkan batik menggunakan mesin secara sepenuhnya. Ini kerana kita perlu mengekalkan seni halus serta teknik tertentu agar menepati Akta 222- Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan takrifan UNESCO di mana sebahagian proses pembuatannya mesti menggunakan tangan.
“Jika seratus peratus menggunakan mesin, maka ia tidak boleh dianggap batik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) Datuk Leela Mohd Ali bahawa definisi seni kraf batik Malaysia perlu diperhalusi dengan memberi penjelasan yang lebih menyeluruh bagi memastikan keberkesanan usaha memelihara dan memartabatkan batik negara.
Langkah mendefinisi semula seni batik Malaysia antaranya dapat mengekang tindakan individu yang ‘menangguk di air keruh’ dengan menjual batik bukan asli dan tidak berkualiti pada harga yang tinggi, sekaligus memberi kesan kepada batik asli.
PANDANGAN PELBAGAI PIHAK
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, proses pendefinisian semula batik mengambil kira pelbagai faktor serta pandangan ramai pihak khususnya penggiat industri batik, agensi kerajaan berkaitan, ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO).
Selain ‘turun padang’ bertemu pengusaha dan usahawan batik di Kelantan, Terengganu dan Kedah khususnya, Kraftangan Malaysia turut mengadakan sesi kolokium bagi mereka yang terlibat.
“Pendefinisian semula ini ibarat ‘menarik rambut dalam tepung’, perlu berhati-hati supaya tidak memberi kesan buruk kepada pengusaha dan industri secara keseluruhannya.
“Harus diingat, jika batik tidak bergerak seiring permintaan pasaran, industri akan mati dan pengusaha akan meletakkan kesalahan kepada Kraftangan Malaysia,” katanya sambil menambah langkah itu nanti diharap memberi nilai yang lebih tinggi kepada batik tempatan.
Akta 222- Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979 menyatakan definisi kraf ialah ‘Keluaran Kraftangan’ sebagai bermaksud - apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil daripada sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik.
‘Keluaran batik’ pula bermaksud apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai reka bentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.
EVOLUSI BATIK
Menyifatkan batik yang dihasilkan setiap negeri mempunyai keistimewaan tersendiri daripada sudut rekaan dan teknik pembuatan, beliau berkata ini termasuklah inovasi penggunaan material baharu yang menjadikan batik Malaysia unik dan terus diminati ramai.
Sebagai contoh, pada awal 2019, Kraftangan Malaysia memperkenalkan batik linut di Mukah, Sarawak, yang diperbuat daripada sagu.
Agensi itu juga ketika ini sedang bekerjasama dengan Perpustakaan Negara dalam menghasilkan batik daripada manuskrip di samping itu turut merancang menggunakan kain serat nenas dari Filipina untuk tujuan yang sama.
“Kita berhasrat meneroka lebih banyak teknik dan mahu mencipta identiti batik bagi setiap negeri sebagai contoh Negeri Sembilan- bunga lada, Melaka- bunga kesidang, Sabah- bunga Rafflesia dan Sarawak- bunga orkid normah.
“Kita mahu menarik minat seluruh masyarakat tanpa mengira Melayu, China, India dan kaum-kaum lain terhadap batik dan untuk itu, rekaan perlu lebih versatil dan tidak hanya memberi refleksi kepasa satu-satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mampu menonjolkan identiti kraf Malaysia.
“Kraftangan Malaysia giat mempromosi batik melalui Hari Kraf Kebangsaan (HKK), Festival Kraf Tekstil Pantai Timur, Festival Kraf Johor, Festival Kraf Tekstil Borneo termasuk mencari peluang menyertai pelbagai siri pertunjukan fesyen di dalam dan luar negara,” tambahnya.
BATIK BLOK
Apabila ditanya mengenai kebimbangan pengusaha tempatan terhadap kemasukan batik luar, Ibrahim mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi saingan kepada pasaran batik Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran itu, beliau berkata Kraftangan Malaysia menyediakan kepelbagaian rekaan, teknik, penggunaan bahan kepada penggiat industri agar mereka dapat memenuhi permintaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Tidak dinafikan ada yang membuat perbandingan dan mengatakan batik Malaysia mahal. Hakikatnya batik kita jauh lebih baik dari segi motif, rekaan, warna, dan teknik sebagai contoh canting, blok, kombinasi canting dan blok, shibory, ikat celup dan pelbagai lagi. Disebabkan itu, batik kita dikagumi oleh negara luar seperti Indonesia, China, dan Uzbekistan.
“Bagi pengeluaran secara besar-besar, pengusaha mungkin mensasarkan golongan biasa dan harganya sudah tentu lebih rendah. Tetapi jika fokus pasaran adalah golongan pertengahan dan ke atas, produk dan material sudah tentu lebih berkualiti dan eksklusif maka tidak mustahil harganya juga berbeza,” katanya.
Berhubung tanggapan segelintir pihak bahawa pembuat blok semakin terpinggir disebabkan perkembangan teknologi terkini pembuatan batik, beliau sebaliknya berkata permintaan terhadap batik blok semakin meningkat sekaligus menepis dakwaan itu.
“Tidak timbul isu pembuat blok terpinggir dan terancam kerana mengikut rekod, kita sebenarnya tak ramai pembuat blok di Malaysia dan mereka sentiasa mendapat tempahan daripada pengusaha atau pembatik, tambahan pula permintaan untuk batik kapas lelaki semakin meningkat.
“Bagi tahun ini (sehingga Disember) kita mencatat lebih RM400 ribu jualan blok. Jadi macam mana ada yang kata terpinggir?
“Institut Kraf Negara (IKN) turut menyediakan kursus berkaitan kraf batik dan logam kerana kita berhasrat melahirkan lebih ramai pelapis dalam bidang ini,” katanya sambil menambah isu hak cipta antara pembuat blok dan pembatik juga tidak seharusnya timbul kerana kedua-duanya mempunyai bidang tugas berbeza.
Beliau pada masa menasihatkan setiap pemilik karya untuk mendaftar hasil kerja mereka bagi melindungi hasil kerja masing-masing.
REVOLUSI INDUSTRI 4.0
Berkongsi persediaan Kraftangan Malaysia ke arah Revolusi Industri 4.0., beliau berkata agensi itu memperkenalkan sistem pembelian produk kraf melalui kaedah mesin pengimbas kod respons pantas 'QR' .
Untuk permulaan, konsep pembelian menggunakan kaedah imbasan kod ini akan diperkenal di beberapa premis jualan di pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan Pulau Langkawi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Melalui kaedah ini, pembelian produk kraf seperti batik, songket, ukiran kayu dan logam dijamin lebih mudah dan menjimatkan kos kerana pembeli hanya perlu mengimbas produk yang diingini, pembelian melalui aplikasi dan seterusnya barang akan dihantar terus kepada mereka.
“Konsep sama akan diperkenal di beberapa pusat jualan di luar negara seperti di Pusat Informasi Pelancongan, ITC di London, Britain, Paris, Perancis, dan China,” katanya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RUANGAN SISI
TERUS CATAT KEUNTUNGAN
Dari Januari hingga November 2019, jualan produk kraf negara mencatat keuntungan sebanyak RM 465.5 juta dan daripada jumlah itu 34 peratus adalah jualan produk batik.
Pelbagai usaha digembleng kerajaan dalam memartabatkan batik sebagai warisan negara di samping membuka peluang kerjaya melalui galakan penghasilan pelbagai kraf batik seperti beg, aksesori dan mainan kanak-kanak termasuklah melibatkan komuniti orang Asli.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai contoh turut mengalu-alukan cadangan wakil rakyat yang mengusulkan agar semua ahli di Parlimen memakai batik pada setiap Khamis sebagai tanda sokongan terhadap industri batik negara.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi turut dilaporkan berkata kerajaan sedang dalam proses perbincangan untuk mewujudkan satu pusat penjualan atau hab kraftangan di Lahad Datu yang akan membolehkan pengusaha kraftangan memasarkan produk mereka.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial