AM

PSS mekanisme terbaik tangani kepelbagaian dokumen - Ahli akademik

10/01/2020 12:43 PM

Oleh Rohana Nasrah

KIMANIS, 9 Jan  -- Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan dikeluarkan mulai 1 Jun 2020, dilihat antara kaedah utama dan mekanisme terbaik diambil kerajaan negeri dalam menangani masalah kepelbagaian dokumen pengenalan diri yang terdapat di Sabah, demikian menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramli Dollah berkata PSS yang bakal dilaksana itu bukan bertujuan memberi status kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaliknya untuk mengenal pasti jumlah sebenar warga asing di negeri ini.

"Pelaksanaan PSS ini juga akan membolehkan pihak berkuasa merancang strategi bagi menguruskan isu PATI di Sabah, sekali gus dilihat mampu mengawal bilangan PATI di negeri ini," katanya kepada Bernama, di sini.

Sebelum ini, Ramli berkata terlalu banyak dokumen digunakan untuk mengesahkan kehadiran migran di Sabah termasuk IMM13 yang dikeluarkan kepada pelarian perang Filipina selepas pengisytiharan Martial Law di selatan Filipina pada 1972 selain beberapa dokumen lain seperti Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

"Jumlah dokumen terlalu banyak ini akan menyukarkan pihak berkuasa kerana tidak ada satu standard dalam penguatkuasaan, malah dokumen yang pelbagai ini juga akan menyebabkan pihak berkuasa berhadapan dengan pelbagai masalah dalam penguatkuasaan," jelasnya.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.

Mengikut rekod, terdapat 51,645 pemegang IMM13, manakala 47,518 pemegang Sijil Banci dan 36,892 pemegang Kad Burung-Burung di Sabah.

Tiga dokumen itu kebanyakannya dikeluarkan kepada warganegara Filipina iaitu kad IMM13 kepada warga asing berstatus pelarian, Sijil Banci ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) dan Kad Burung-Burung dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.

Mengulas lanjut, Ramli berkata usaha untuk mengenal pasti kehadiran PTI sekali gus menguruskan masalah itu dijalankan secara lebih berkesan sejak 1984 menerusi bancian polis dan diteruskan dengan kajian bertajuk ‘Transient Population Study’ dijalankan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada 1987.

Selepas kajian itu selesai, pada 1988, kerajaan negeri Sabah pada ketika itu memperkenalkan akta Imigresen baharu yang agak ketat dalam menangani masalah PATI, dan menerusi akta berkenaan, pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap akan ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal mereka termasuk pelarian Filipina, katanya.

Ramli berkata usaha menguruskan masalah PATI diteruskan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menubuhkan PPKP pada 1989 bagi mendaftar dan menentukan jumlah pendatang di Sabah.

Menurutnya, tugasan itu dimulakan pada 1990 dan berakhir pada 1991 sebelum PPKP melaksanakan program pemutihan pada 1996.

Mengulas lanjut mengenai PSS, Ramli berkata pas sementara itu adalah satu usaha untuk menangani isu PATI di Sabah yang dilihat semakin kompleks pada hari ini dengan kemajuan teknologi, tambahan pula, kebanyakan dokumen seperti IMM13 tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan mudah ditiru.

Justeru, pengeluaran PSS yang turut menerapkan ciri keselamatan, akan menyukarkan dokumen terbabit dipalsukan, katanya.

Ramli, bagaimanapun berkata jabatan berkaitan dalam pelaksanaan PSS perlu memperkasa keterlibatan masyarakat dan pemimpin politik dengan memberi penjelasan bahawa pas itu bukan untuk tujuan pemberian kewarganegaraan tetapi sebagai satu cara bagi menangani masalah kebanjiran warga asing di Sabah.

Ini perlu bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dan semua masyarakat benar-benar memahami konsep PSS serta mengapa ia dilaksanakan, katanya.

Sementara itu, Prof Madya Wan Shawaluddin Wan Hassan berkata PSS perlu dilaksana kerana Malaysia khususnya Sabah sudah lama tidak mempunyai mekanisme terbaik bagi mengetahui berapa ramai populasi pelarian Filipina yang menjadi pemegang IMM13 selain pemegang Kad Burung-Burung di negeri ini.

"Justeru, PSS adalah perlu untuk merekodkan keberadaan pendatang asing yang ada di Sabah, dan kerajaan bukannya hendak memberi taraf kerakyatan kepada pendatang asing," kata Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan UMS itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata PSS akan dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri keselamatan seperti biometrik, gambar serta cap jari, dan pelaksanaannya akan dapat mengelak berleluasanya sindiket pemalsuan dokumen serta penipuan ke atas warga asing di Sabah.

Sementara itu, seorang penduduk Normilah Salleh, 38, dari Kampung Kelatuan Batu 8, Bongawan, berkata beliau melihat PSS sebagai inisiatif yang berkesan dalam menghantar balik PATI yang tidak mempunyai dokumen sah dan bersembunyi di mana-mana, ke negara asal mereka.

Bagaimanapun, Liovon James, 48, dari Kampung Langsat, Bongawan, berkata pelaksanaan PSS itu perlu dipantau sebaiknya oleh pihak berkuasa bagi memastikan ia dilaksanakan secara lebih telus demi kebaikan Sabah.

"Bagi saya, PSS ini jika ia dilaksanakan dengan bagus dan betul untuk kebaikan negeri, saya sokong, tetapi perlu ada pemantauan. Lebih baik, kerajaan dan pembangkang duduk bersama-sama berbincang bagaimana kaedah pelaksanaan terbaik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan