AM

Intipati Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

27/02/2020 06:17 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb -- Berikut adalah intipati Pakej Rancangan Ekonomi 2020 yang dilancarkan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini:

  • Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 diperkenal bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan penyakit COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan.
  • Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu ditunjangi tiga strategi iaitu Menangani Impak COVID-19; Memangkin Pertumbuhan Berteraskan Rakyat; dan Menggalakkan Pelaburan Berkualiti.
  • Tiga langkah pendekatan dalam strategi pertama iaitu memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan; bantuan kepada individu yang terjejas; dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan.
  • Kerajaan akan memberikan RM600  secara sekali bayar kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar. 
  • Elaun khas kepada petugas awam barisan hadapan COVID-19 iaitu RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan dan RM200 kepada kakitangan imigresen serta kakitangan lain yang terlibat. Bantuan elaun khas ini berkuatkuasa pada Februari 2020 hingga wabak berakhir. 
  • Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.
  • Kerajaan akan menawarkan potongan berganda kepada perbelanjaan ke atas latihan bagi sektor pelancongan.
  • Menyediakan RM100 juta geran padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40,000 pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.
  • Peruntukan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia.
  • Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih.
  • Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik.
  • Rakyat Malaysia diberi baucar digital bagi pelancongan dalam negara sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, kereta api dan penginapan di hotel berlesen.
  • Kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi pelancongan. Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini.
  • Melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.
  • Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus kepada tujuh peratus daripada 11 peratus sebelum ini. Ini bermakna RM10 juta bilion akan kekal di tangan pencarum berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini.
  • Bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup (BSH) bulan Mei sebanyak RM200 diawalkan ke bulan Mac 2020.
  • Kerajaan akan membayar tambahan RM100 kepada setiap penerima BSH yang dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.
  • Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada kadar 3.75 peratus bertujuan menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.
  • RM10 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga dapat dikurangkan.
  • Geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang.
  • Peruntukan tambahan RM20 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang.
  • Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.
  • Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat ke peringkat akar umbi, peruntukan akan disalurkan melalui usaha sama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
  • Kementerian Kewangan akan memudahkan tatacara kewangan khas untuk tahun 2020 iaitu dengan meningkatkan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000.
  • Memastikan kementerian menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama 2020.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan