POLITIK

HAB PENDIDIKAN TINGGI PAGOH, BUKTI VISI PM BANGUNKAN SEKTOR PENDIDIKAN

02/03/2020 06:18 PM

Oleh Lucia Terey John

MUAR, 2 Mac -- Penubuhan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di sini adalah bukti bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan seorang pemimpin yang mempunyai visi besar dalam membangunkan sektor pendidikan termasuk di bahagian utara Johor. 

Bekas Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata ini kerana idea asal penubuhan hab itu pada mulanya adalah sekadar untuk menubuhkan kampus cawangan UTHM.

“Langkah penubuhan hab ini bermula apabila saya bertemu dengan beliau (ketika itu timbalan perdana menteri) dalam satu acara UMNO Bahagian Sri Gading, Batu Pahat, untuk memohon kepadanya agar mempertimbangkan penubuhan kampus cawangan UTHM di Pagoh.

“Saya katakan sebagai naib canselor universiti dan juga anak Parit Raja, saya dapati lokasi UTHM di Parit Raja sudah terlalu padat kerana ia dibina di kawasan berkependudukan tinggi dan bertambah maju,” katanya kepada Bernama di sini. 

Sehubungan itu, katanya beliau mencadangkan bahawa lokasi yang terbaik untuk kampus cawangan itu adalah di Pagoh berdasarkan kedudukannya yang tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru serta berada di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) .

Mohd Noh berkata apabila dipanggil semula untuk membincangkan hal berkenaan, beliau bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan bahawa perancangan awal yang diutarakan tidak hanya akan melibatkan kampus cawangan UTHM semata-mata.

“Sebaliknya beliau (Muhyiddin) kata ia akan menjadi satu hab, akan ada kampus lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Tun Syed Nasir. Jadi dari situ, saya sudah nampak beliau mempunyai visi yang besar,” katanya.

Mohd Noh berkata perancangan untuk menubuhkan HPTP kemudian dilaksanakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu merupakan Menteri Pengajian Tinggi.

“Ia memakan masa lebih daripada lima tahun untuk menjadikan idea itu sebuah kenyataan, tetapi saya berbangga kerana hasilnya, UTHM Pagoh kini tersenarai sebagai fakulti ketiga terbaik dalam menghasilkan graduan yang memenuhi pasaran pekerjaan,” katanya. 

Mula beroperasi sejak Mei 2017, selain UTHM, hab yang terletak di Bandar Universiti Pagoh itu, turut menempatkan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) dan tiga universiti awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ia turut memperkenalkan konsep Kemudahan Guna Sama Berpusat bertaraf dunia untuk warga institusi pengajian tinggi di situ, yang dilihat pertama seumpamanya di rantau ASEAN.

HPTP yang dibangunkan secara berfasa itu, turut dilihat menyumbang dari segi limpahan ekonomi apabila menyuntik kepada pembangunan bandar baharu di sekitar kawasan Pagoh, yang dahulunya merupakan kawasan pinggir bandar, serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan