AM

MUHYIDDIN: KEDUDUKAN MENTERI KANAN SAMA

11/03/2020 03:38 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat menteri kanan dalam Kabinet beliau mempunyai kedudukan yang sama.

Pada Isnin lepas, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet merangkumi 31 menteri, yang buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri, sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan.

Mereka ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ketika ketiadaan beliau, Muhyiddin berkata Mohamed Azmin akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

"Mereka semua adalah setara, kecuali dalam mesyuarat Kabinet hari ini, saya beritahu menteri-menteri sekiranya saya tidak hadir, (Mohamed) Azmin akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

“Sekiranya beliau juga tidak ada, Ismail (Sabri) yang akan mempengerusikannya. Saya mempunyai banyak sokongan dan saya fikir sistem ini akan menjadi Kabinet yang berfungsi untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang pertama di sini hari ini.

Muhyiddin berkata ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama itu beliau telah menjelaskan mengenai pembentukan empat jawatan menteri kanan berkenaan.

"Ini kerana kita akan melaksanakan sistem kluster iaitu kementerian-kementerian yang terlibat dalam bidang ekonomi, utiliti, keselamatan dan sosial akan bertanggungjawab kepada kementerian-kementerian yang terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sekiranya terdapat perkara-perkara tertentu yang perlu diberi perhatian, menteri kanan berkenaan akan memimpin mesyuarat dan perbincangan untuk mencari penyelesaian atau menentukan hala tuju kementerian.

Katanya, senarai kluster kementerian itu sedang diperkemaskan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali untuk memastikan tiada pertindihan.

"Tetapi dalam kes-kes tertentu ia mungkin ada timbal balik antara kedua pihak sebagai contoh masalah COVID-19 yang membabitkan tidak hanya urusan kerja Kementerian Kesihatan tetapi banyak kementerian lain termasuk Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan