AM

Jabatan Kesihatan Terengganu nafi semua kakitangan Hospital Dungun dikuarantin

24/03/2020 04:07 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Mac -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini menafikan dakwaan kononnya Hospital Dungun ditutup dan semua kakitangannya dikuarantin seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata Hospital Dungun masih beroperasi seperti biasa namun wad pesakit lelaki terpaksa ditutup untuk dilakukan proses pembersihan dan nyah kuman di keseluruhan bahagian wad.

"Ini kerana terdapat seorang pesakit yang disyaki positif jangkitan COVID-19 hadir mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, wad lelaki Hospital Dungun ditutup untuk memberi laluan kepada proses pembersihan dan nyah kuman sebagai langkah pencegahan awal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Nor Azimi juga berharap kakitangan JKNT tidak sewenang-wenangnya memuat naik status di media sosial tanpa memberi penerangan jelas kerana ia hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Saya juga telah melawat Hospital Dungun semalam dan mendapati semuanya berada dalam keadaan terkawal dan rawatan di wad lain juga berjalan seperti biasa," katanya.

Untuk rekod, terdapat 38 kes positif COVID-19 di seluruh Terengganu setakat 12 tengah hari semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan