AM

Putrajaya, Rembau dan Jasin di bawah kategori zon merah COVID-19 - KKM 

07/04/2020 01:23 PM

KUALA LUMPUR,  7 April  -- Tiga lagi lokasi dikategorikan sebagai zon merah COVID-19, menjadikan, jumlah keseluruhan zon merah kini meningkat kepada 21 lokasi, menurut statistik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan statistik yang dikongsikan dalam Twitter KKM hari ini, lokasi terbaharu itu membabitkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 41 kes, Jasin di Melaka (42 kes) dan daerah Rembau, Negeri Sembilan (41 kes).

Sehingga 12 tengah hari semalam (6 April), daerah lain yang turut dikategori sebagai zon merah ialah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); serta Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor).

Hilir Perak dan Kinta (Perak); Kota Bharu (Kelantan); Tawau (Sabah); Kuching (Sarawak); Jerantut (Pahang); dan Seremban (Negeri Sembilan).

Sementara itu, Lembah Pantai dan Hulu Langat masing-masing mencatat angka kes positif COVID-19 lebih 300, jumlah yang tertinggi bagi satu kawasan setakat ini dengan masing-masing 386 kes dan 324 kes.

Zon merah dikategorikan bagi jumlah melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau ialah tiada kes.

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik COVID-19 di dunia, apabila negara kini menghuni tangga ke-29 semalam (6 April) dengan 3,793 kes positif dan 62 kematian.

Berdasarkan statistik itu, kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada 5 April, iaitu di tangga ke-27.

Negara jiran, Indonesia (2,273 kes) dan Thailand (2,169 kes) pula masing-masing berada di kedudukan ke-38 dan ke-39, manakala Singapura di tangga ke-53 senarai itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan 333,072 kes dan Sepanyol (131,646 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas di tangga pertama dan kedua dunia diikuti Itali di tangga ketiga dengan 128,949 kes.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan