AM

Perdana Menteri dijangka buat pengumuman selepas taklimat oleh KKM esok

09/04/2020 09:07 PM

PUTRAJAYA, 9 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman esok mengenai langkah-langkah berikutnya bagi membendung penularan COVID-19, mungkin turut berkaitan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau akan memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai kes COVID-19 pagi esok sebelum pengumuman itu.

"Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai apa yang perlu dilakukan bagi mengawal COVID-19 dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat harian kepada media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan membuat pengumuman pada hari Jumaat sama ada tempoh PKP akan disambung atau sebaliknya.

Kerajaan melaksanakan PKP dengan hasrat memutuskan rantaian penularan COVID-19, dengan fasa pertama bermula dari 18 hingga 31 Mac, diikuti dengan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah 4,228 manakala jumlah kematian 67. 

Dr Noor Hisham berkata beliau akan mengadakan mesyuarat di pejabat kementerian petang ini untuk melihat hasil pelbagai model kajian, dengan menggunakan semua data yang ada.

“Selain data yang kami (Kementerian Kesihatan) ada, kami juga mendapatkan beberapa agensi yang berkaitan, contohnya kami turut jemput Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan beberapa perangkawan,” tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata semua mereka akan berbincang, memeriksa data dan melihat unjuran serta trajektori jangkitan COVID-19 di Malaysia bagi tempoh kira-kira seminggu.

“Dengan melihat data-data ini, kita akan buat ramalan sama ada jumlah kes akan melonjak atau sebaliknya, tapi jika dilihat kepada prestasi kita sehingga kini, jumlahnya nampak antara yang rendah, kita cuma ada 109 kes (kes positif baharu),” katanya.

Terdahulu JP Morgan menjangka kes COVID-19 di Malaysia akan memuncak pada pertengahan April. 

Dr Noor Hisham berkata KKM kini menggunakan kaedah baharu iaitu mengikut mukim dalam menentukan klasifikasi kawasan COVID-19 yang lebih tepat. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan