AM

Kemeja batik pembuka selera: Ismail Sabri terhibur kreativiti warganet

02/05/2020 01:48 AM

Oleh C. Vinoothene

KUALA LUMPUR, 1 Mei -- Baju batik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menjadi bahan bualan netizen - kali ini kerana mengingatkan mereka tentang keenakan pelbagai juadah Ramadan.

Menteri tersebut gemar mengenakan kemeja batik bercorak kontemporari ketika sidang media harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rona dan corak baju beliau yang cukup unik menjadikan pilihan fesyen beliau tular di media sosial sebelum ini. Terkini, ia menjadi ‘inspirasi’  kreativiti netizen yang memuat naik kompilasi kemeja batik beliau yang disamakan dengan pelbagai juadah tempatan dan hidangan minuman yang menyelerakan.

Hantaran mengusik itu berjaya mencuri perhatian beliau. 

“Kreatif betul warga net. Baju saya dah jadi kueh-mueh.

“Saya ingat saya jadi model batik Malaysia je. Rupa-rupanya jadi model kueh dan ice cream pulak,” seloroh beliau menerusi hantarannya di laman Facebook, hari ini. 

Gambar rekaan rakyat memaparkan gambar beliau dan juadah yang mengikut tema baju batiknya seperti kek lapis, jus tembikai, air batu campur (ABC) dan agar-agar. 

Menteri tersebut berterima kasih terhadap hantaran warganet yang mencuit hati beliau serta turut memberi ucapan ‘jenaka’ untuk seluruh rakyat Malaysia “Selamat berbuka puasa dengan kueh mueh baju saya ya.”

Hantaran tersebut telah mencapai 870 perkongsian berserta dengan lebih 600 komen positif daripada warganet.

Pengguna Facebook Zainab Sahak memberikan komen,”Tahniah buat Datuk Seri, sebab telah menjadi model yang paling penting buat kami rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk menu makanan tetapi juga untuk kawalan keselamatan untuk kita semua....seronok melihatnya.”

Nabillah Hamid memberi komen “Latest baju Dato, membuatkan saya teringin nak makan apam polka dot cicah teh-o panas..”

Hantaran itu turut menarik perhatian pereka fesyen dan menantu beliau, Jovian Mandagie yang kongsikan gambar-gambar tersebut di laman Instagram dengan kapsyen “Lapar sangat ye kamu semua ni?”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan