AM

Penggunaan kod QR dalam MySejahtera mudahkan orang ramai daftar diri

28/05/2020 08:18 PM

PUTRAJAYA, 28 Mei -- Penggunaan kod ‘Quick Response’ (QR) atau respons pantas akan dimasukkan dalam aplikasi MySejahtera mulai 1 Jun ini bagi memudahkan orang awam mendaftar diri ketika memasuki premis perniagaan dan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penaiktarafan aplikasi itu, antara lain, adalah berikutan kebimbangan masyarakat tentang penggunaan pen yang mungkin tidak bersih setelah digunakan oleh orang ramai.

“Sebagai contoh, MySejahtera, kita akan gunakan kod QR mulai 1 Jun, jadi tidak perlu menggunakan pen untuk menulis nama anda. Kita akan menambah baik MySejahtera ini dari semasa ke semasa.

“Apa pun, yang lebih penting ialah jika kita tidak mempunyai kod QR kita menasihatkan setiap orang agar sentiasa memiliki pen sendiri, itu adalah lebih baik. Saya juga pergi ke kedaI, mereka mempunyai petugas sendiri untuk menulis nama, jadi itu juga adalah antara cara untuk melakukannya,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 752,711 individu telah memuat turun aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memuat turun aplikasi itu kerana ia bukan sahaja berfungsi untuk penggunaan kod QR malah boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM bersama kementerian lain serta badan bukan kerajaan perlu mengadakan perbincangan bersama untuk mencapai penyelesaian jangka panjang dalam isu wabak penyakit berjangkit itu.

Beliau mengulas cadangan ahli akademik universiti tempatan yang meminta KKM menggunakan modul menangani penyakit HIV untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin.

“Itu saranan yang baik dan sepatutnya kita duduk bersama untuk membincangkan secara holistik berhubung isu pendatang tanpa izin dan pekerja warga asing.

“Ini penting kita duduk berbincang bersama. Kalau boleh, kita kena bersama untuk dapatkan satu penyelesaian… (khususnya berhubung) jangkitan penyakit berjangkit dalam kalangan pendatang tanpa izin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan