KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Malaysia dilihat semakin menghampiri situasi bebas COVID-19 apabila kes positif terus menunjukkan penurunan, sekali gus membolehkan pembukaan beberapa sektor ekonomi lagi untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Menuju kira-kira enam hari sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir, negara terus mencatatkan hanya satu digit kes COVID-19 untuk tiga hari berturut-turut sekali gus memberi petanda penularan wabak itu dapat dikawal pihak berkuasa.
Mana tidaknya, pada Selasa, hanya lima dari 20 kes baharu membabitkan penularan tempatan dalam kalangan warganegara, selain pada Isnin (enam dari 38) dan Ahad (empat dari 57).
Selain itu, rakyat Malaysia juga mungkin boleh berbangga kerana tiada kes kematian dicatatkan pada Selasa, untuk 11 hari berturut-turut, seolah-olah memberi petanda bahawa Malaysia dalam landasan tepat ke arah fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas berhasil memutuskan rangkaian penularan kes baharu COVID-19.
Perkara ini jika diimbas kembali, pernah didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu wawancara dengan Bernama pada 30 Mei yang antara lain menyebut kebolehjangkitan COVID-19 semakin hari semakin berkurang dan jika ini berterusan, ia akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.
Petanda baik ini membolehkan kerajaan pada Selasa mengumumkan bahawa pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan dibenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh PKPB.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun majlis itu perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka, juga mengikut SOP ditetapkan.
Turut dibenarkan adalah aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan mulai 10 Jun ini.
Selain itu, kerajaan juga kini membenarkan baki lebih 6,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) beroperasi kembali dan boleh merujuk SOP disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Sabtu ini juga dinanti ramai, apabila satu mesyuarat khas dijadualkan berlangsung bagi membincangkan beberapa lagi SOP yang akan ditampilkan, antaranya berkaitan aktiviti jualan pasar malam, aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan perkhidmatan kedai gunting rambut.
Tiada salahnya untuk rakyat berharap akan pelbagai lagi khabar gembira menanti mereka, kerana pematuhan rakyat terhadap SOP PKPB sememangnya semakin meningkat, jika dilihat kepada fakta bahawa tiada kompaun ziarah perayaan Aidilfitri dikenakan setakat ini, dan tiada kertas siasatan berita palsu dilaporkan mengenai COVID-19 pada Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial