SHAH ALAM, 4 Jun -- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menafikan dakwaan mengarahkan pengunjung sebuah pasar raya besar di Seksyen 13 di sini supaya menjalani ujian saringan kesihatan, kata pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Beliau berkata arahan hanya dikeluarkan supaya pasar raya besar itu ditutup bermula Isnin lepas kerana beroperasi dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Foto tular mengatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan pengunjung yang pernah ke pasar raya besar itu perlu menjalani ujian saringan kesihatan adalah palsu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tular di media sosial satu gambar notis penutupan pasar raya besar itu oleh KKM dan dinyatakan orang ramai yang pernah mengunjungi premis tersebut perlu menjalani ujian saringan kesihatan.
Sementara itu, pasar raya besar tersebut menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan premis perniagaan berkenaan kini dibuka semula mengikut waktu operasi biasa dengan kawalan keselamatan kesihatan yang tinggi seperti disarankan KKM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial