AM

COVID-19: Singapura catat kematian Ke-25

07/06/2020 09:50 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 7 Jun  -- Singapura yang merekodkan 344 kes baharu semalam, melaporkan satu lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kepada 25.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan, kematian terbaharu itu melibatkan lelaki warga China berusia 41 tahun yang meninggal dunia pada 4 Jun lepas.

Dikenali sebagai Kes 11714, mangsa disahkan dijangkiti COVID-19 pada 22 April.

Menurut kementerian itu, lelaki itu telah sembuh daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar hospital pada 17 Mei tetapi jatuh pengsan pada 4 Jun dan koroner mengesahkan sebab kematian adalah tromboembolisme paru-paru berikutan jangkitan SARS-CoV-2.

Singapura melaporkan kematian akibat COVID-19 yang pertama pada 21 Mac.

Setakat semalam, 350 kes jangkitan COVID-19 dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 24,559 atau 66 peratus daripada 37,527 pesakit sembuh sepenuhnya.

Pada masa ini, terdapat 308 kes disahkan masih berada di hospital dengan empat dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Kementerian itu memberitahu 12,635 kes yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi positif ujian COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan