AM

Tindakan ubah suai Jata Negara perbuatan biadab - Saifuddin

01/07/2020 12:40 PM

PEKAN, 29 Jun -- Tindakan mengubah suai Jata Negara merupakan satu perbuatan sangat biadap dan tidak boleh dimaafkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata mereka yang terlibat wajar dikenakan hukuman berat tanpa kompromi kerana Jata Negara merupakan simbol tertinggi untuk sesebuah negara.

"Saya nak menyatakan rasa kesal yang amat sangat kerana dalam soal simbol kebesaran negara, bukan sahaja menghormatinya, malah untuk menggunakan simbol-simbol kebesaran negara ini juga perlu tertib dan penuh etika. Misalnya, Jata Negara kena digunakan penuh dan apabila dipamerkan mesti diletakkan di atas sekali dan tidak ada simbol lain yang boleh diletak… apa lagi meletak wajah entah siapa.

"Pada saya ini perbuatan yang sangat biadab dan tidak boleh kita kompromi dengan keadaan sedemikian rupa, saya yakin polis akan menyiasat dengan rapi dan saya harap siapa saja bersalah itu akan diberi hukuman berat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Salong dekat sini hari ini.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia perlu menghormati Jata Negara, sama seperti menghormati Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, alasan penerbit buku kontroversi itu, Chong Ton Sin, yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja sebagai satu alasan tidak munasabah, katanya.

Buku yang menggunakan visual mirip Jata Negara, mendapat perhatian kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara selepas perkara itu tersebar di media sosial.

Lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Berikutan perbuatan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik telah membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terlibat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan