AM

GURU WANITA RUGI RM112,000 DITIPU LOVE SCAM

11/07/2020 03:22 PM

KEPALA BATAS, 11 Julai -- Seorang guru kerugian RM112,000 selepas wanita itu terpedaya dengan janji manis seorang lelaki mengaku sebagai anggota tentera Amerika Syarikat yang mahu berkahwin dengannya, dipercayai ahli sindiket Love Scam, dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 37 tahun itu berkenalan dengan lelaki terbabit menerusi aplikasi Telegram pada awal bulan Mei lepas sebelum hubungan semakin intim malah suspek turut memberitahu mangsa mahu berkahwin dengannya.

"Mereka kemudiannya bercinta malah lelaki itu sering memberikan kata-kata manis termasuk berjanji untuk berkahwin dengan wanita tersebut dan dia juga memaklumkan mahu ke Malaysia dan berjumpa mangsa seterusnya mengahwininya kerana sangat mencintai guru berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya akibat terlalu teruja, mangsa terperdaya dengan kata-kata manis lelaki itu termasuk permintaan suspek untuk meminjam wang daripada wanita itu dengan memberi alasan akaun banknya disekat kerana dia anggota tentera Amerika Syarikat.

Menurutnya, lelaki itu meminta wang daripada mangsa sebanyak RM65,000 kononnya sebagai perbelanjaan untuk perjalanan dari Amerika Syarikat ke Malaysia dan wang persediaan perkahwinan mereka sebelum wanita itu memasukkan wang ke dalam akaun diberikan suspek.

Noorzainy berkata pada masa yang sama, lelaki itu telah memaklumkan kepada mangsa bahawa perjalanan ketika COVID-19 adalah sukar serta perlu mengambil Insurans perlindungan dan wanita tersebut yang telah dilamun cinta serta teruja ingin berjumpa kekasihnya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM47,000 sebelum memindahkan wang itu ke dalam akaun suspek.

"Guru itu telah melakukan sebanyak 17 transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank membabitkan RM112,000 kepada kekasih yang kononnya ingin datang ke sini dan berkahwin dengannya, namun sejak Selasa lepas dia gagal menghubungi suspek sebelum membuat semakan serta mendapati telah menjadi mangsa Love Scam," katanya.

Katanya, wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan pemilik akaun bank serta sindiket Love Scam tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang pesara kerajaan kerugian RM21,985 selepas lelaki itu diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa pihak lain telah menggunakan kad kreditnya dalam kejadian semalam.

Menurutnya, mangsa berusia 63 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki  mengaku pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan memaklumkan terdapat penggunaan kad kredit miliknya sebelum suspek mengarahkan warga emas tersebut untuk memberikan nombor TAC yang diterima bagi tujuan semakan BNM.

"Mangsa yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati kad kredit miliknya telah dicaj sebanyak RM21,985 dan jumlah tersebut telah dipindahkan ke akaun Big Pay (e-dompet) dan tiada sebarang penggunaan lain seperti didakwa lelaki mengaku pegawai BNM itu," katanya.

Katanya, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam dan kedua-dua kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan