AM

Kerajaan Muhyiddin buktikan ada majoriti di Parlimen

14/07/2020 08:30 AM

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 13 Julai  -- Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara Mac lepas hari ini membuktikan bahawa mereka mendapat 'bilangan yang mencukupi’ dan keyakinan ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Ini ternyata apabila usul untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun mendapat sokongan majoriti ahli parlimen walaupun mendapat bantahan pembangkang.

Tuduhan liar kononnya PN kerajaan 'pintu belakang’ dan tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen ternyata meleset kerana ia berjaya memilih Azhar Azizan sebagai speaker baharu menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff selepas mengharungi perdebatan yang hangat.

Usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff dicadangkan oleh Muhyiddin yang memperolehi 111 undi, sementara dibangkang oleh 109 ahli parlimen.

Dua ahli parlimen tidak mengundi iaitu ahli parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) tidak hadir berikutan masalah kesihatan dan ahli parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan mesyuarat.

Proses di Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui Youtube Parlimen Malaysia itu ditonton oleh ramai rakyat yang mahu melihat perkembangan terkini PN sebagai kerajaan yang sah.

“Majoriti ini tetap satu ketetapan untuk meluluskan usul itu (menggantikan Speaker Dewan Rakyat). Ia tetap undi majoriti (merujuk kepada dua undi diperolehi PN),” jelas pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Apa yang pasti, menurut Dr Shamrahayu, penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sah di sisi undang-undang walaupun mendapat tentangan pakatan pembangkang dan ahli parlimen bebas.

Bantahan pembangkang terhadap usul itu semata-mata kerana ingin menonjolkan bahawa perkara ini  tidak pernah berlaku dalam sejarah persidangan Dewan Rakyat selain alasan kerajaan untuk menukar speaker kerana ada calon lain adalah  tidak kukuh.

Pihak kerajaan pula mempertahankan usul itu dengan hujah ia menepati Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dilakukan pada bila-bila masa dipilih berdasarkan kepada tiga keadaan.

Pertama apabila Dewan Rakyat bermesyuarat kali pertama selepas pilihan raya umum; kedua, Speaker boleh ditukar apabila beliau berhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat melainkan sebab oleh pembubaran; dan ketiga, jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata PN berhujah menggunakan perlembagaan dan peraturan mesyuarat.

“Ianya bukan soal speaker lama tak layak (menduduki kerusi itu)… pembangkang ada hak untuk bertanyakan serta memainkan peranan mereka untuk semak dan imbang,” kata Dr Sivamurugan yang juga profesor sosiologi politik. 

Apapun yang pasti, pengundian hari ini bukan sekadar menyaksikan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi jelas membuktikan PN mempunyai majoriti kerusi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan