AM

Kluster Sivagangga berkemungkinan besar 'super-spreader' – KP Kesihatan

07/08/2020 12:02 PM

PUTRAJAYA, 6 Ogos -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji sama ada kluster Sivagangga di Kedah merupakan kluster ‘super-spreader’ iaitu berupaya menjangkiti ramai orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini memandangkan kluster Sivangangga merebak dengan cepat berbanding kluster di Sarawak dan sebagainya. 

“KKM kena laksana ujian dengan teliti, dan akan kulturkan virus tersebut di makmal serta melihat kepada susunan genomik,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, hari ini. 

Jelasnya pada masa ini KKM berjaya mengawal peningkatan mendadak kes COVID-19 daripada kluster Sivagangga.  

Mengulas mengenai jangkitan yang berlaku di Australia, Dr Noor Hisham berkata COVID-19 merebak di Victoria kerana seorang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) di pusat kuarantin dan menjangkiti seluruh komuniti dan satu negeri. 

“Petang tadi saya mengadakan telesidang dengan rakan sejawat saya di Melbourne. Saya  dimaklumkan kes jangkitan tertumpu kepada seorang individu yang balik dan membawa jangkitan kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu adalah sepertimana berlaku dalam kluster Sivagangga. 

“Seorang individu yang balik dan membawa jangkitan tetapi tidak mematuhi SOP akan menyebabkan orang lain dijangkiti,” katanya. 

Mengulas mengenai penglibatan KKM dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti, Dr Noor Hisham berkata SOP yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan akan digunakan di PRK DUN Slim, bakal dijadikan penanda aras.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi bagi menambah baik SOP yang akan disyorkan pada PRN Sabah, kelak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan