EKONOMI

ANAK SYARIKAT SARAWAK CONSOLIDATED INDUSTRIES PEROLEH KONTRAK DARIPADA SERBA DINAMIK

18/08/2020 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- SCIB International (Labuan) Ltd (SILL), anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) di Abu Dhabi daripada Serba Dinamik International Ltd (SDIL), anak syarikat Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) bernilai RM607.77 juta (US$145 juta). 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya kontrak itu untuk tempoh empat tahun bermula Oktober 2020 hingga September 2024. 

Dalam makluman sama, SCIB berkata satu lagi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SIBS), menerima kontrak daripada Serba Dinamik Development Sdn Bhd (SDDSB), anak syarikat SDHB, untuk kontrak EPCC di Pengerang, daerah Kota Tinggi di Johor, dengan nilai RM43.88 juta. 

Syarikat itu berkata kontrak tersebut untuk tempoh lapan bulan dari Oktober 2020 hingga Mei 2021. 

Katanya kedua-dua perjanjian rasmi untuk kontrak tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kontrak itu dijangka tidak memberi sebarang impak yang ketara kepada aset bersih dan tahap kadar hutang Kumpulan SCIB untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020, katanya.

“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan SCIB pada masa depan sepanjang tempoh kontrak itu,” katanya. 

Mengenai faktor risiko, katanya kontrak tersebut tertakluk kepada risiko perniagaan biasa seperti risiko pembinaan, kenaikan kos berikutan kenaikan kos bahan, ketersediaan tenaga kerja mahir, bahan dan terma kontrak, termasuk prestasi subkontraktor, serta risiko pertukaran asing berikutan turun naik mata wang.

Bagaimanapun, SCIB akan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan risiko. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan