AM

Kerajaan tidak terburu-buru buka sempadan negara - Muhyiddin

16/09/2020 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 15 Sept  -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan terburu-buru membuka sempadan negara.

Beliau berkata sebaliknya kawalan sempadan akan terus diperketat termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang tanpa izin bagi mengekang wabak COVID-19.

Perdana Menteri berkata walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada rakyat yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak berbahaya itu.

“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan khas situasi semasa COVID-19 yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, malam ini.

Sempadan negara masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat.

Perdana Menteri berkata sebanyak 1,017 pelawat dari luar negara dikesan positif COVID-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 Sept.

Beliau berkata situasi COVID-19 di negara luar pula menunjukkan terdapat beberapa negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan pandemik itu.

Tegasnya, perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika rakyat leka dan memandang remeh penularan virus berbahaya itu di peringkat global.

Muhyiddin berkata selain tindakan yang diambil kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh rakyat merupakan faktor amat penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

“Saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan