AM

Sindiket 'cuci duit' : Tiga pegawai, dua anggota polis ditahan - Acryl Sani

07/10/2020 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt  -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima anggota polis ditahan, disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’ berkait dengan perniagaan selebriti tanah air sebelum ini.

Tanpa memperincikan butiran lanjut kes itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan perkara berkenaan, ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pegawai dan dua anggota polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini, hanya lima anggota polis ditahan manakala siasatan kes ini (sindiket ‘cuci duit’) saya serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata kes ‘cuci duit’ berkenaan mempunyai kaitan dengan macau scam, katanya ringkas.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, suruhanjaya itu telah menemui sejumlah wang tunai kira-kira RM100,000 di kediaman seorang daripada pegawai polis yang ditahan.

“Pegawai polis itu kini ditahan bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan sesetengah pihak di media sosial berhubung penglibatan pegawai polis dalam sindiket `cuci duit’.

Sebelum ini, Bernama melaporkan SPRM memanggil sepasang suami isteri bergelar artis, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan